Featured Post

Kenyataan Sedih Tun Dr Mahathir..

Bayangkan rumah yg baru dilanda banjir besar. Saya rasa itu lah gambaran keadaan negara skrg. Habis semua rosak. Nak bersihkan pun tak ...

Sunday, June 24, 2018

Pelancong Menari Ala K-Pop,Masjid Salah Sebuah Bandaraya Di Malaysia Ditutup Kepada Pelancong

KOTA KINABALU: Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR) yang popular sebagai lokasi persinggahan pelawat di pinggir bandar raya ini, ditutup kepada semua pelancong asing berkuat-kuasa hari ini.
Ia berikutan tersebarnya sebuah video berdurasi kira-kira 10 saat menunjukkan aksi tidak senonoh dua wanita berpakaian seksi dipercayai pelancong asing sambil menari ala 'K-pop' di atas pagar tembok masjid berkenaan.
Makluman penutupan itu dijelaskan Pengerusi MBR, Datuk Jamal Tun Sakaran dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada ejen pelancongan, di sini, hari ini.

Jamal dalam kenyataannya berkata, berikutan kejadian itu MBR memutuskan semua bas pelancong, pemandu Grab dan teksi tidak dibenarkan membawa pelancong masuk ke kawasan dan sekitar masjid kecuali teksi berdaftar dengan MBR.
Katanya, larangan itu termasuk tidak membenarkan bas pelancong, kereta Grab dan teksi diletakkan di luar masjid seperti yang biasa diamalkan sebelum ini.
"Pihak Pengurusan Tertinggi MBR mengambil keputusan untuk melarang sementara waktu kepada semua pelancong untuk datang melawat masjid berkenaan serta-merta. Ini ekoran daripada video yang tular di media sosial menunjukkan tindakan pelancong asing mempamerkan perilaku tidak senonoh di atas pagar MBR.
"Pihak Pengurusan Tertinggi MBR menzahirkan rasa sangat kesal dengan tindakan segelintir pelancong terbabit meskipun sudah diberi penerangan perilaku dan tertib di sekitar masjid," katanya.
Setiap hari dianggarkan 500 hingga 1,000 pelancong melawat MBR berdasarkan persetujuan pihak Pengurusan Tertinggi MBR dalam melaksanakan pelbagai usaha bagi menyampaikan mesej keindahan Islam dan masjid kepada pelancong.
Katanya, ia termasuk inisiatif menyediakan pemandu pelancong, jubah, baju kurung, tudung dan kopiah untuk pelancong, selain menyediakan Pusat Pelancong bagi memudahkan penyaluran maklumat serta menyemarakkan aktiviti dakwah.
Bagi memastikan larangan lawatan pelancong dipatuhi sepenuhnya, Jamal berkata, pihak pengurusan MBR juga mengambil keputusan menambah anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ditempatkan di luar pagar masjid bagi memantau keadaan.
"Bagi menjaga imej dan kesucian Islam dan masjid di samping meneruskan kelestarian industri pelancongan di Sabah, pihak MBR akan mengadakan perbincangan lanjut bersama agensi berkaitan pelancongan bagi mencari kaedah terbaik yang memberi manfaat kepada semua.
"Idea bernas, cadangan dan pandangan pihak berkaitan juga diperlukan dari semasa ke semasa untuk memantapkan dakwah Islamiah dan sektor pelancongan," katanya.
Sumber :Berita Harian

No comments:

Post a Comment