Featured Post

Kenyataan Sedih Tun Dr Mahathir..

Bayangkan rumah yg baru dilanda banjir besar. Saya rasa itu lah gambaran keadaan negara skrg. Habis semua rosak. Nak bersihkan pun tak ...

Wednesday, May 23, 2018

Dongeng Lucah 1997 Hilangnya Kebal UMNO


ULASAN | Tidak pernah terlintas dalam kepala saya bagaimana Umno akan tumbang dengan begitu mudah pada 9 Mei 2018.
Saya kira, kita patut rasa hairan bagaimana negeri tanah tumpah darahnya Umno - Johor - telah mengorbankan parti Melayu itu tanpa kasihan belas.
Kejadian pelik, bersejarah dan mencuit emosi semacam ini langsung tak pernah digambarkan dalam kubikel minda saya. Keinginan untuk melihat ia berlaku ada, tetapi tak lebih sekadar doa dan harapan.
Sejarah baru Malaysia menjelang 2020 ini sudah wajar dicatat dalam buku sekolah. Tentang bagaimana rakyat segala bangsa dari kota sampai ke Tanjung Piai bersatu hati menumbangkan parti yang telah memerintah turunnya bendera Union Jack lebih 60 tahun lalu.
Tumbangnya Umno di Tanah Melayu - termasuk di Borneo Utara dan beberapa kerusi parlimen di Sarawak - begitu menyentuh emosi saya. Lebih-lebih lagi peralihan tampuk kerajaan berlaku secara aman – sekaligus menguburkan segala dongeng kononnya negara akan huru-hara kalau pembangkang menang.
Tabu sebegini sudah mati. Malaysia memasuki era baru.
Dan yang turut menyentuh hati ialah mengenai perdamaian dua gergasi yang berseteru lama iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai mamalia hina, saya akui memaafkan ‘dosa’ orang bukan benda mudah. Sama ada perdamaian itu lahir daripada strategi politik mahupun terpancar dari sanubari, itu bukan soalnya kerana yang terpenting politik sebagai seni segala mungkin ini telah membebaskan rakyat dan melakar sejarah baru tanah air.
Saya berbangga kerana menjadi salah seorang saksi mata terbebasnya Anwar Ibrahim pada 16 Mei 2018 ketika dia melangkah bergaya keluar dari Pusat Rehabilitasi Cheras.
Saya amat berbangga kerana kehadiran saya untuk bertugas pada hari itu dipaksakan. Puncanya Kancil saya sudah terlebih panas dan tersadai berhampiran Flat Sri Sabah.
Lantas menapaklah saya ke sana kurang lebih 2km. Saya bangga.
Saya ada sebab untuk berbangga dan berterima kasih kepada Anwar. Laungan reformasi pada September 1998 yang bergema di jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur memainkan peranan besar mencorak pegangan politik saya pada hari ini dan kepercayaan tentang sebuah negara yang lebih baik, demokratik dan mempunyai harapan.
Warna-warni politik itu sekaligus memandu hala tuju awal kerjaya saya sebagai penulis di MerdekaReview sebelum menjadi wartawan politik bagi DAP.
Penagih tegar kaset politik
Bermula dari era Reformasi 1998 sehinggalah tsunami politik 2008, masyarakat mula didekati dan memahami tentang pencerahan, pendemokrasian, kebebasan, keberanian mengkritik, demonstrasi, Hishamuddin Rais dan bercambahnya gerakan-gerakan sivik yang menuai hasil tidak sedikit dalam mencorak hala tuju politik Malaysia.
Selang tempoh itu juga kita menyaksikan percambahan wacana siasah melalui pelbagai bahan bacaan selain Harakah seperti majalah Siasah, Tamadun, judul-judul buku pencerahan dan puluhan lagi bacaan alternatif seiring kemunculan blog-blog politik khususnya pada pratsunami 2008.
Sudah tentu - dengan tidak menafikan ‘jasa’ Dr Mahathir dan tokoh-tokoh lain - hala tuju pendemokrasian serta pencerahan negara amat terkesan dengan aksi politik dan reformasi yang dicetuskan Anwar.
Pada suatu masa, saya menjadi penagih kaset-kaset politik dan ceramah PAS hanya untuk mengetahui perkembangan politik semasa dan Anwar.
Ketika Anwar turun ke jalan raya pada 1998 melaungkan Reformasi, saya baru selesai SPM dan menganggur. Segalanya tentang Anwar dan Reformasi saya peroleh dari televisyen, Berita Harian, Harakah, Tamadun dan surat-surat layang fotostat yang diselit di masjid.
Keterujaan saya terhadap reformasi dan situasi politik negara membuak-buak apabila menonton TV dan cakera padat tentang ‘huru-hara’ dan aksi keras polis menangani para demonstran di Kuala Lumpur.
Seperkara yang aneh dan menarik perhatian saya, pemecatan Anwar pada 1998 diikuti gelombang reformasi bermula akibat fitnah dongeng jijik penulis upahan yang bercerita tentang kelucahan melampau kononnya dilakukan oleh Anwar.
Anwar ialah tokoh yang dihormati dunia Islam dan Barat ketika itu.
‘Kitab lucah’ itulah yang jadi pedoman dan disebar secara meluas semasa perhimpunan agung Umno pada 1997. Ia kemudian membunuh kerjaya politik Anwar sehingga beliau dipecat serta-merta tahun berikutnya.
Jika 1998 signifikan dengan bermulanya permusuhan rasmi Umno dengan Anwar, 20 tahun kemudian Umno akhirnya tumbang!
Kerajaan Umno ibarat dimakan sumpah, setelah sekian lama menzalimi orang yang tidak bersalah.
Ramai yang berkata nasib Najib Razak adalah pengulangan episod malang menimpa Anwar Ibrahim 20 tahun lalu dan di tangan oleh orang yang sama, Dr Mahathir.


Justeru tidak hairan apabila Dr Mahathir bertindak sedemikian kerana dia memang suka menjatuhkan protege yang tidak sehaluan.
Apa pun telahan orang, yang pasti kejatuhan Najib dan Umno-BN pada 2018 tidak dimulakan dengan dongeng jijik penulis upahan. Kejatuhan Umno dan Najib adalah hasil keangkuhan.
Juga ketamakkan dan kegilaan pemimpin kepada harta negara. Tumbangnya Umno adalah hasil tekad politik rakyat yang dipimpin dua bekas seteru lama yang berdamai demi menyelamatkan Malaysia dari tangan Umno yang sudah hilang keramat.
Reformasi!

HAFIZ ZAINUDDIN ialah pembaca Malaysiakini, juga penulis buku Lesong yang suka berenang dan makan-makan. Pernah menjadi pembantu Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan kini wartawan Roketkini.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

sumber : malaysiakini

No comments:

Post a Comment